logo

21st-22nd August 2017

Borneo Convention Centre Kuching,
Kuching, Sarawak, Malaysia.

Sarawak Tuan Rumah ICAAS 2017

KUCHING, 25 Julai (Bernama) — Sarawak akan menganjurkan Persidangan Pertanian dan Industri Asas Tani Antarabangsa Sarawak 2017 (ICAAS 2017) pada 21 dan 22 Ogos di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata persidangan bertemakan Mentransformasi Pertanian Melalui Pengkomersialan itu merupakan persidangan penting yang julung kali dianjurkan kerajaan Sarawak.

Objektif utama persidangan itu adalah untuk berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam industri pertanian dan asas tani, meneroka sistem penyampaian berkesan mengenai pertanian untuk mentransformasi sektor pertanian serta mengenal pasti peluang dalam penggunaan teknologi digital bagi melipatgandakan pembangunan pertanian lestari dan berdaya saing.

Uggah berkata, bersempena persidangan itu, satu pameran akan dianjurkan bagi memperagakan produk pertanian dan asas tani yang dihasilkan sektor swasta, institusi dan agensi kerajaan tempatan dan antarabangsa.

“Kami menjangka 20 penceramah tempatan dan antarabangsa, yang pakar dalam bidang industri pertanian dan asas tani, akan berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang pengkhususan masing-masing dengan peserta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.