logo

21st-22nd August 2017

Borneo Convention Centre Kuching,
Kuching, Sarawak, Malaysia.

Kerajaan anjur persidangan pertanian bulan depan

KUCHING: Kerajaan negeri akan mengadakan Persidangan Antarabangsa Pertanian dan Industri Asas Tani Sarawak (ICAAS) 2017 yang dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 Ogos depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ia merupakan pertama kali buat kerajaan negeri menganjurkan persidangan pertanian di Sarawak.

Pertanian disifatkan sebagai salah satu sektor utama yang menyumbang kepada transformasi ekonomi negeri kira-kira 14 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2016, jelasnya.

Sehubungan itu, katanya sektor pertanian memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan taraf hidup dan mengurangkan kemiskinan masyarakat luar bandar Sarawak.

“Oleh itu, bertepatan dengan penganjuran persidangan ini, ia dijadikan sebagai landasan untuk perkongsian ilmu tentang pendekatan dan mekanisme baharu yang dapat diguna pakai di negeri ini,” katanya.

Uggah berkata demikian pada sidang media ICAAS di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau, penganjuran itu juga selaras dengan dasar kerajaan ke arah ekonomi digital, di mana penggunaan teknologi digital harus ditekankan untuk memudah dan mempercepatkan pembangunan pertanian.

Tambahnya, penggunaan teknologi juga bakal menjadikan sektor pertanian sebagai trend terkini dan mampu menarik minat golongan muda.

“Ia akan menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian menerusi penggunaan teknologi digital,” katanya.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu mendedahkan bahawa objektif persidangan itu termasuk berkongsi maklumat dan amalan dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

Selain itu, meneroka sistem penyampaian pertanian secara berkesan dalam usaha melaksanakan proses transformasi sektor tersebut.

Persidangan dua hari itu dijangka akan dihadiri lebih 1,500 delegasi daripada sektor pertanian dan perniagaan tani tempatan dan antarabangsa serta penyertaan institusi akademik dan penyelidikan dari rantau ASEAN.

“Kami menjangkakan seramai 20 penceramah tempatan dan antarabangsa yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian akan berkongsi pendapat dan pengalaman mereka sepanjang berada dalam lapangan tersebut,” katanya.

Uggah berkata persidangan itu akan mengangkat isu semasa termasuk cabaran, trend dan peluang dalam sektor pertanian dan industri asas tani di Sarawak.

Antaranya, pemodenan dan pengkomersilan pertanian, perjalanan ke arah transformasi pertanian, integrasi dan rantai kekalan sertai pertanian digital.

Dalam pada itu, Uggah turut melancarkan laman sesawang ICAAS 2017 yang boleh dicapai di pautan www.icaas2017.com.my.

Hadir sama, Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosioekonomi) Datu Ismawi Ismuni.